Oleh Mohd Syahid Mohd Zaini
Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak(BERSATU)
“Transformasi Kearah Negara Maju Berpendapatan Tinggi” adalah tema bagi Belanjawan 2011 yang telah dibentangkan pada 15 Oktober 2011. Seusai sahaja Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan sebanyak 45 helai muka surat mengenai Belanjawan 2011,pastinya ada yang tersenyum gembira dan pasti ada yang masih masam mencuka.
Diwarung kopi, heboh dan meriah sekali kerana gaji golongan berpendapatan rendah telah dinaikkan seperti pendapatan cikgu kafa, ketua kampung, pengawal keselamatan dan penghantar surat . Para penjawat awam tersenyum lebar bila diumumkan Sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) akan dimansuhkan. Tidak ketinggalan isu kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta. Tidak ketinggalan juga dimana RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.
Apa yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah berkaitan dengan Pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015. Pada dasarnya,mungkin masih ada yang tertanya-tanya mengapa bangunan ini perlu diwujudkan? Lalu, merenung kembali pembinaan KLCC, Jambatan Pulau Pinang dan KLIA yang satu masa dulu turut dikaitkan seperti isu Bangunan Warisan Merdeka ini. Apa yang diharapkan semoga pembinaan ini dapat meningkatkan pendapatan Negara sekaligus member kebaikan kepada rakyat.
Mahu rasanya saya mengajak pembaca sekalian meneliti semula senarai belanjawan Negara 2011 ini. Jika kita lihat dari segi pandangan tipis, pasti kita merasakan bahawa kerajaan begitu banyak sekali melaburkan wang untuk pelbagai jenis perbelanjaan. Apakah makna atau agenda disebalik perbelanjaan ini.
Ya. Pastinya dengan pelbagai perancangan terbaru ini, mereka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaaan buat para belia,khususnya bakal-bakal mahasiswa yang akan menamatkan pengajian mereka. Seperti contoh lain di mana kerajaan merancang untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing dan menubuhkan “Talent Corporation” di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.
Rakyat juga perlu bijak merangka dan mengambil peluang di sebalik perbentangan yang telah diwar-warkan kepada kita. Contohnya, menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN, program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta, memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan,memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti, melancarkan Dana Pencen Swasta dan Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.
Menariknya , peruntukan sebanyak RM10.2 bilion dalam belanjawan 2011 telah disalurkan untuk belanja pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkasa modal insan dan kualiti akademik institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Kita juga menanti sesuatu yang ajaib buat peminjam PTPTN. Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.
Selain itu, golongan muda kini mampu memiliki rumah sendiri. Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. Ianya bagus untuk jangka masa pendek namun mungkin memakan diri bagi jangka masa panjang. Bebanan hutang yang ditanggung oleh negara meningkat mendadak dan terdapatnya permintaan “palsu” disebabkan oleh kebolehan pembelian rumah secara mendadak. Sekiranya terdapat masalah, berkemungkinan bank dan Negara akan mengalami defisit teruk dalam program “corporate bail out”.
Namun, apa yang menjadi idaman rakyat adalah bagaimana perancangan belanjawan ini berjalan dan ditunaikan. Bukan kuantiti yang begitu banyak yang kita mahukan, tetapi lebih melihat pada kualiti yang kita idamkan. Sebagai rakyat Malaysia tidak kira golongan tua, golongan elit, mahasiswa dan sebagainya, kita perlu bersyukur dan berhati-hati dalam sesuatu tindakan. Yang kita mahukan, segala perjalanan ini bersih dan bukan hanya berpihak pada sesetengah golongan. Saya yakin juga kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negara kita. Saya juga pasti kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit Negara.
Kajian perlu dilakukan lagi untuk membaiki apa yang telah dirancang. Mengurangkan perbelanjaan yang kurang berfaedah kepada rakyat dan jati diri rakyat itu penting. Kerana kegemilangan sesebuah negara itu terletak pada jati diri dan ketermadunan rakyat dan pemimpin sesebuah Negara itu sendiri.
Suara rakyat adalah suara Negara. Semoga Belanjawan 2011 yang bernilai RM 212 billion ini mampu memberi jaminan dan mengekalkan ekonomi Negara dengan baik dan jayanya