Thursday, January 20, 2011

Pengurusan SMPI kemas dan bersungguh.

Salam perjuangan,

Alhamdulillah baru pulang melihat sahabat-sahabat Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) tahun dua bermain futsal di kolej Dayasari. Satu pendekatan yang saya kira sangat baik dalam menjamin ikatan ukhuwah fillah terus terjalin dengan baik.

Tahniah kepada saudara Amin Ribang selaku pengarah program dan ajk pelaksana program yang bertungkus lumus dalam menggerakkan program yang sangat hebat tadi.Tahniah juga saya ucapkan kepada saudara Aziz Rekan selaku orang kuat SMPI dalam menguruskan kebajikan sahabat-sahabat SMPI dengan baik.

Semoga gerak kerja yang baik ini dapat di terusakan di masa mendatang.InsyaAllah jika di berikan ruang waktu kita akan mengadakan pertandingan futsal yang melibatkan seluruh mahasiswa APIUM.Bi iznillah..

Kepentingan berorganisasi,

Dalam kehidupan yang semakin mencabar kini, mana mungkin sesuatu gerak kerja akan nampak sempurna tanpa amal jamaie (gerak kerja secara berkumpulan). Jika kita mengimbau sejarah Islam sekali pun memang terbukti gerak kerja secara berkumpulan ini sangat penting dalam Islam.

Ayuh lihat saja dalam peperangan Badar yang diketui oleh rasulullah sendiri.Dalam keadaan tentera yang sedikit iaitu sejumlah 313 orang melawan tentera musyrikin sejumlah 1000 orang. Satu jumlah yang jika di lihat secara logik akal menampakkan selayaknya tentera Islam kalah dari sudut kekuatan jumlah.

Namun dengan kebjaksanaan seorang ketua iaitu Rasulullah SAW dalam mengatur strategi peperangan Badar telah membuahkan hasil yang luar biasa yang akhirnya kejayaan berbalik ke pihak yang benar iaitu Islam.

Akan tetapi kekuatan seorang ketua yang bijak sahaja tidak cukup untuk menang sebenarnya tanpa sokongan kuat dari jundiyyah (pengikut) yang baik dan soleh. Sebab itulah nabi Muhammad SAW sangat menekankan kekuatan rohiyyah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping kekuatan fizikal yang mantap.

Seperti pepatah arab ada menyebut "akal yang cerdas datangnya dari tubuh badan yang sihat".
Juga kita kebenaran hadis baginda Nabi Muhammad SAW iaitu : Akan suatu masa nanti akan kita kuasai juga kota kostantinopel, yang mana ketuanya ialah sebaik-baik ketua dan tenteranya pula ialah tentera-tentara yang terbaik."

Akhirnya sejarah mengungkapkan bahawa benar Sultan Muhammad Al-fateh seorang anak muda yang bijaksana di berikan tanggungjawab oleh ayahandanya Sultan Murad telah membuktikan bahawa Kota Konstantinopel telah pun di kuasai oleh umat islam di bawah tampuk pemerintahannya.

Tentera-tenteranya yang sentiasa bangun malam dan siangnya bekerja keras untuk memastikan kemenangan Islam di julang pada zaman mereka.Hasil kesungguhan dalam amal jamaie itulah melayakkan kemenangan menjadi milik umat Islam setelah penantian yang lama selama 800 tahun.

Kesimpulannya, sebarang kejayaan pasti akan menjadi milik kita bila mana gerak kerja secara jamaie (berkumpulan) dapat kita laksanakan dengan barsungguh-sungguh.Di samping itu kekuatan roh jua perlu di bina sebagai kekuatan dalam untuk memastikan kejayaan itu benar-benar milik kita. Sekian..

Monday, January 17, 2011

Harapan Anak Muda Terhadap kerajaan




1. Mendesak kerajaan supaya urus tadbir yang dilakukan mesti berpandukan kepada amalan terbaik, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi supaya seluruh urusan negara dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab, adil dan berkebajikan.

Perkara ini dapat dicapai menerusi penghayatan terhadap Islam yang baik, mendaulatkan undang-undang negara, penerapan akhlak mulia disamping pemulihan terhadap polisi yang lain seperti memperkasakan amalan pemisahan kuasa, pindaan atau pemansuhan terhadap akta-akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Percetakan dan Penerbitan serta Akta Polis.

Pemimpin-pemimpin kabinet negara yang dilantik menerusi sistem pilihanraya di Malaysia ataupun melalui pelantikan daripada Dewan Negara mestilah bebas dan bersih daripada sebarang krisis moral, dakwaan korupsi dan sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan penghormatan dan imej negara di mata rakyat dan peringkat antarabangsa.

2. Meletakkan prioriti pembangunan dan pelaburan atas neraca yang adil selaras dengan keperluan rakyat supaya perbelanjaan negara tepat kepada golongan sasaran, mengelakkan pembaziran, tidak menindas rakyat serta memberikan kesan gandaan yang positif.

Ini bagi memastikan bahawa kek ekonomi negara dapat diseimbangkan antara kos perbelanjaan pembangunan dan kos perbelanjaan pengurusan. Penelitian semula atau penjimatan terhadap kos perbelanjaan pengurusan mampu meningkatkan perbelanjaan dalam pembangunan supaya ia mampu melonjakkan rangsangan ekonomi negara. Kerajaan juga disarankan supaya meningkatkan dana simpanan negara bagi menghadapi tamparan unjuran krisis ekonomi yang semakin kritikal diperingkat global serta memberikan keselesaan terhadap generasi negara akan datang.

3. Menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula penswastaan terhadap utiliti asas rakyat seperti eletrik dan air supaya tidak berlaku peningkatan tarif yang tidak releven disamping mengekalkan subsidi bagi meringankan beban rakyat.

Ini termasuk juga memastikan penggunaan yang pruden terhadap khazanah yang diperoleh negara contohnya daripada institusi Petronas seperti dividen, royalti dan cukai supaya tidak berlaku inflasi yang keterlaluan dalam harga petrol, diesel dan barang-barang keperluan yang lain. Sementara itu, perkara yang sama turut ditekankan dalam konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan swasta mengenai puluhan lebuhraya di Malaysia supaya kadar-kadar tol yang membebankan dapat dihapuskan secara berperingkat.

4. Mengkaji semula sistem cukai yang diamalkan oleh negara ini dari aspek keperluan pelaksanaannya, kadar penetapan cukai (jika perlu), serta golongan yang dituntut untuk membayar cukai. Kerajaan seharusnya memiliki keazaman dalam memastikan rakyat di negara ini tidak terbeban dengan penetapan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Ini termasuk mendesak kerajaan supaya Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan ditarik semula yang dijangka akan dibahas dan diwartakan dalam sesi mesyuarat ketiga Parlimen sepanjang Oktober hingga Disember ini.

Pihak Anak Muda juga menyarankan agar pihak kerajaan dapat menilai kebarangkalian menyelaras pelaksanaan sistem kutipan zakat dan pengurusan baitulmal di peringkat negeri-negeri supaya usaha membantu golongan sasar atau asnaf dapat diuruskan dengan lebih efektif dan efisyen. Disamping itu, kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri juga seharusnya lebih proaktif untuk memperkasakan konsep wakaf kerana didapati ia banyak memberikan manfaat kepada rakyat serta mampu mengislamisasikan ruang dan bandar seperti pembinaan kota wakaf.

5. Menggesa kerajaan agar dapat menguruskan termasuk memelihara dan memulihara sumber alam seperti perhutanan, tanah, pasir, sungai, laut, lombong, minyak, gas dan lain-lain dengan baik supaya ia dapat menampung aset negara disamping mengekalkan warisan untuk generasi akan datang. Tragedi bencana yang berlaku di Pakistan, China, Ireland dan Indonesia akhir-akhir ini seharusnya dijadikan iktibar penting supaya langkah pencegahan dan persiapan menghadapi bencana alam dapat diuruskan dengan sistematik.

Pihak Anak Muda menyambut baik usaha teknologi hijau yang telah dibangunkan sebelum ini bagi menangani ancaman pemanasan global, krisis makanan dan bencana alam. Manakala, peningkatan produktiviti yang bersandarkan kepada penggunaan bahan kimia yang keterlaluan mestilah dipantau dan diambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah kesihatan, manipulasi pasaran dan keuntungan sesetengah pihak semata-mata.

6. Ekoran daripada krisis kewangan global yang melanda Eropah dan khususnya Amerika Syarikat sebelum ini, Malaysia seharusnya mengambil iktibar dan mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi dan hubungan perdagangan dengan negara-negara tersebut. Tambahan pula, polisi luar mereka cenderung menyokong operasi kerajaan haram Israel membantai umat Islam dan rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Malah, Amerika Syarikat juga dilihat agresif memberikan tekanan kepada negara-negara umat Islam seperti Iran dan Iraq.



Sebaliknya, pemilihan rakan strategik perdagangan harus diluaskan kepada negara-negara sedang membangun seperti di negara Timur Tengah, ASIA dan ASEAN bagi membentuk rangkaian kuasa ekonomi yang baru di dunia. Disamping itu, kerajaan harus melipatgandakan kajian dan meningkatkan kehendak politik untuk melaksanakan sistem matawang dunia baru yang lebih baik dan berpotensi seperti dinar emas.

7. Melihat kepada kerisauan rakyat terhadap jatidiri dan peribadi golongan muda yang semakin kritikal, Anak Muda menggesa agar peruntukan terhadap sektor pendidikan dan pembinaan modal insan dikekalkan sebagai antara penerima peruntukan yang terbesar dalam Bajet 2011 kelak. Peruntukan tersebut tidak seharusnya dibelanjakan bagi pembinaan infrastruktur dan materialistik semata-mata, sebaliknya diseimbangkan dengan perbelanjaan terhadap aktiviti-aktiviti latihan, pemikiran, kepimpinan dan jatidiri yang sebenar.

Pengagihan peruntukan antara institusi pendidikan terutamanya diperingkat sekolah seharusnya dilakukan dengan lebih adil supaya ia memenuhi tuntutan semasa demografi rakyat yang berbilang agama dan bangsa. Begitu juga prasarana sekolah-sekolah di kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan dari masa ke semasa supaya jurang kepada akses pendidikan dapat dikurangkan jika dibandingkan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Diperingkat pengajian tinggi pula, pihak Anak Muda masih optimis bahawa pinjaman pendidikan seperti PTPTN boleh dikurangkan malah dihapuskan dan diberikan biasiswa secara percuma. Golongan graduan tidak seharusnya dibebankan dengan pinjaman hutang yang secara puratanya mencecah RM 20,000 selepas tamat belajar dan mula membina kehidupan yang baru. Inilah kesulitan hidup yang dialami oleh golongan mahasiswa yang diburu dengan bayangan hutang selepas graduasi meskipun baru berjinak-jinak dalam dunia kerjaya dan keluarga yang sebenar. Oleh sebab itu, pihak Anak Muda juga bertegas supaya pihak kerajaan dapat mengkaji semula cadangan PTPTN untuk mengenakan potongan wajib daripada gaji menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan juga harus menitik beratkan terhadap pembinaan syakhsiyah jatidiri mahasiswa disamping mengejar tuntutan serta kehendak industri. Dalam soal ini, penghayatan terhadap falsafah pendidikan negara seharusnya disegarkan semula agar rakyat yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara ini memenuhi aspirasi falsafah tersebut.
8. Berdasarkan kepada wabak penyakit yang semakin kritikal seperti Influenza A (H1N1), demam denggi, chikungkunya, meliodosis dan leptospirosis akhir-akhir ini, Anak Muda menggesa agar pihak kerajaan dapat menyediakan pre-emptive plan bagi menangani penularan wabak penyakit tersebut.

Sistem pengesanan wabak dapat dikemaskinikan dengan baik disamping peruntukan yang besar dapat disediakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan penemuan kajian-kajian terbaru. Begitu juga negara Malaysia tidak sewajarnya kehilangan tenaga-tenaga pakar supaya tenaga atau nisbah seorang doktor dan rakyat dapat dijarakkan. Pelaburan yang besar mesti diperuntukkan agar keperluan terhadap tenaga pakar tempatan sentiasa ada dan sekaligus dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Selain itu, memandangkan isu kesihatan adalah isu asasi yang penting, Anak Muda mendesak agar sebarang bentuk penswastaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan hospital mestilah dimansuh dan ditolak. Malah, kerajaan seharusnya membiayai perkhidmatan kesihatan untuk golongan kanak-kanak, pelajar dan ibu mengandung.

9. Pihak Anak Muda menyokong penuh sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran semasa iaitu 3.3 peratus (Julai 2010) kepada tahap paling minima. Jika merujuk kepada perangkaan kadar pengangguran dikalangan mahasiswa pula, pada tahun 2008 ia telah mencatatkan kira-kira 80,000 orang ataupun 13% daripada jumlah keseluruhan kadar pengangguran di Malaysia.

Bagi memastikan kepentingan golongan pekerja terutamanya daripada golongan anak muda ini terbela, pihak Anak Muda mendesak supaya kerajaan segera menetapkan kadar gaji minimum bagi mencukupkan mereka memenuhi keperluan asas dan menikmati taraf hidup yang adil.

10. Persekitaraan kehidupan yang materialistik menjerat kebanyakan golongan muda sehingga ramai dikalangan mereka berstatus muflis. Menurut kenyataan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini, golongan muda yang berumur 25 tahun hingga 44 tahun adalah paling ramai yang diisytiharkan bangkrap iaitu sejumlah 38,357 orang sejak 65 bulan yang lalu. Trend ini dipengaruhi dengan kehendak mereka yang gemar berhutang menggunakan instrumen kad kredit, pinjaman pembelian kenderaan dan pinjaman peribadi.
Pergantungan golongan muda terhadap kemudahan kredit oleh institusi kewangan amat membimbangkan. Mereka akan terlibat samada dengan transaksi riba’ dan credit rating rendah yang akhirnya menzalimi mereka ataupun kontrak perbankan Islam yang bersifat sebaliknya. Oleh yang demikian, Anak Muda menyarankan agar pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia dapat sentiasa meneliti semula kontrak-kontrak perbankan Islam supaya ruh pinjaman dan perniagaan menurut perspektif Islam selari dengan maslahah yang dijamin kepada rakyat.

Disamping itu, pihak, Anak Muda berpendapat kadar pembelian aset hartanah dan perumahan di negara ini terutamanya di kawasan Lembah Klang terlalu tinggi sehingga telah menyukarkan golongan muda untuk memilikinya. Maka, satu mekanisme yang bersepadu perlu dibentuk dan digarap supaya keperluan terhadap pemilikan perumahan oleh golongan muda dapat dibantu dan dipermudahkan.

Friday, January 14, 2011

Isu terkini sekitar APIUM ..


Salam perjuangan teman-teman...

Sejak dua menjak ni keadaan politik di Universiti Malaya mula untuk kembali subur.Bila mana gembar gembur calon bebas di APIUM timbul.Pada saya satu perkembangan yang positif dalam budaya politik kampus.

Sudah sekian lama di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya tidak ada pertandingan pilihan raya.Sering kali kita lihat calon dari Pro Mahasiswa sahaja yang mendominasi sebagai wakil fakulti di APIUM.Sebenarnya dalam politik yang lebih tinggi kita inginkan ialah kesedaran mahasiswa berkaitan politik wujud subur bagi setiap diri mahasiswa.

Sehingga turning point yang kita ingin lihat di akhir gerak kerja siasi ini ialah ramai mahasiswa yang akan turun mengundi dalam pilihan raya pada kali ini. Siapa yang menang atau kalah itu persoalan kedua dan ketiga.Tapi yang paling penting ialah kesedaran dan kecaknaan mahasiswa tentang isu-isu setempat dan semasa itu wujud.

Berkaitan beberapa perkara yang berkait rapat dengan mahasiswa APIUM iaitu mengenai isu library APIUM.Pertama saya ingin ucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang mempersoalkan dan sering bertanya tentang library APIUM.Pada saya itu merupakan petanda baik bahawa mereka sangat cakna tentang isu-isu di APIUM.

Untuk pengetahuan pembaca, isu library telah pun saya selesaikan pada semesta lepas lagi.Setelah beberapa kali ulang alik dan naik turun pejabat APIUM dalam memperjuangan isu kebajikan mahasiswa,akhirnya pentadbiran APIUM terutama Dr. Ruzman telah pun memberikan penjelasan yang baik kepada saya selaku wakil fakulti APIUM berkaitan isu library.

Hatta perkembangan isu library telah pun UM-today paparkan pada semesta lepas. link
Untuk pengetahuan anda,sekarang sedang berlaku proses pembaikpulihan lereng bukit di belakang library.Jadi saya harap semua warga APIUM dapat menjaga keselamatan diri dengan sebaik mungkin.

Baik.. Seterusnya setelah keadaan lereng bukit di belakang library itu stabil, barulah gerak kerja membaiki bangunan library akan di buat.Kemudian selepas pembaikpulihan bangunan siap, barulah gerak kerja elektrikal dan perabut di kemas kini dan akhir sekali barulah peralihan kitab-kitab di library Za'ba akan di letakkan kembali di library APIUM.

Maka dengan ini jelas menunjukkan gerak kerja ini memang memakan masa yang lama dalam memastikan library APIUM kembali berfungsi seperti sedia kala.Mengikut tempoh masa gerak kerja pembaikpulihan library APIUM ini memakan masa lebih kurang setahun setengah.

Semoga gerak kerja yang di lakukan dan penjelasan isu ini dapat menjawab segala persoalan teman-teman APIUM.Harapannya setelah library APIUM ini siap pembaikpulihnnya nanti, seluruh mahasiswa APIUM dapat manfaatkannya dengan semaksimal mungkin.Sekian wassalam

Islamic Song