Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, akan menjalani hukuman sebat kerana didapati bersalah meminum arak. Beliau sedang mendukung anaknya Wan Kaitlynn Sari Dewi, 5, di rumah ayahnya di Karai, utara Kuala Lumpur.
HUKUMAN sebat yang dikenakan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno begitu hangat diperbincangkan dan turut mendapat perhatian di luar negara.
Dalam negara yang undang-undang Islam dikanunkan seperti di Malaysia, isu seperti Kartika perlu dibahaskan dalam konteks peruntukan berkenaan.
Isu ini turut mengundang komen dan reaksi negatif daripada mereka yang prihatin dengan imej Islam, negara dan keadilan.
Ada pihak mempersoalkan kewajaran hukuman ke atas Kartika yang disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Antara mereka yang lantang bersuara ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sisters in Islam (SIS).
Ramai yang menghujah keputusan tersebut dengan berbagai alasan.
Walaupun ibu muda yang juga model sambilan itu sudah insaf atas kesalahannya meminum arak di tempat awam dan rela pula menghadapi hukuman tersebut, beberapa pihak meminta supaya dia merayu untuk mengelakkan hukuman.
Dari perspektif perlembagaan sebenarnya hukuman yang dikenakan ke atas Kartika itu telah menepati tuntutan 'rule of law' (kedaulatan undang-undang).
Proses itu tidak sama dengan tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan itu.
Proses perbicaraan Kartika menepati tuntutan kedaulatan undang-undang kerana beliau dibicarakan dengan terbuka dan telus. Beliau tidak ditangkap dan dihukum atau terus dicampak ke dalam penjara sebagaimana kes ISA yang memang bertentangan dengan kedaulatan undang-undang itu.
TIDAK ADA HAK MENCEROBOH BIDANGKUASA JENAYAH SYARIAH
Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari Dewi Sukarno,Haji Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat dalam kiriman emelnya menjelaskan JAG, SIS dan kuncu-kucunya tidak ada hak untuk menceroboh bidangkuasa jenayah syariah.
Menurut fakta yang terkumpul setakat ini, antara lain menjelaskan:
1. Kartika bukan lah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat. Tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang.
2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.
3. YA Hakim Dato' Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.
4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.
Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain..- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.
5. Hukuman keatas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputusan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato' Abdul Hamid hendak membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.
6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukang sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.
7. Seorang penyebat wanita telah membuat demo sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato' Asri. Dato' Asri kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.
8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.
9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Phang itu tidak lama lagi.
10. JAG dan SIS melalui memorandum kepada PM telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri-menteri Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat.
Banyak iktibar dapat diambil dari episod Kartika ini. Mungkin nasihat Dr Asri dalam isu Kartika perlu direnung bersama.
"Saya menasihati diri saya dan orang ramai, yang pro atau kontra dengan isu ini, fahamilah maksud dan hikmah prinsip hukum dalam Islam ini dengan cara yang betul. Menyokong atau menentang secara membuta tuli hanya merugikan dunia ilmu dan akan mencemarkan hakikat bagi sesuatu perkara," kata Dr Asri.
Sementara itu, Kartika tetap menunggu tarikh baru pelaksanaan hukuman tersebut daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas ia ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment