Thursday, October 15, 2009

Tips Menguatkan Ingatan

kuatingatan

Memiliki ingatan yang kuat ialah satu kebolehan yang diimpikan oleh ramai orang. Mengapa? Kerana kekuatan ingatan membantu kita dalam banyak perkara terutamanya dalam pelajaran.

Mari kita lihat beberapa tips untuk menguatkan ingatan mengenai sesuatu perkara.

1. Berulang-ulang

Perkara yang amat penting jika kita membincangkan tentang kekuatan ingatan ialah pengulangan. Pengulangan ini penting kerana memang ia salah satu cara untuk mengingat sesuatu perkara. Dalam hal ini, kesabaran adalah sangat penting kerana tanpa kesabaran, pengulangan ini akan terhenti separuh jalan.

2. Fokus

Pastikan anda fokus mengenai perkara yang anda tumpukan tersebut. Buat berterusan sehingga anda betul-betul mengingati perkara tersebut. Ada sesetengah orang boleh menumpukan perhatian walaupun ada banyak gangguan namun suasana yang tenang membolehkan anda mengingati perkara tersebut dengan lebih baik.

3. Sentiasa bersama nota

Biasakan anda bawa nota kecil bersama anda setiap hari. Sekiranya anda merasakan anda hampir lupa akan perkara tersebut, ambil nota kecil dan baca. Saya suka mempraktikkan langkah ini dan nampaknya ia berjaya.

4. Mengingat sebelum tidur

Salah satu waktu yang sesuai untuk mengingati sesuatu perkara ialah dengan mengambil masa sebelum tidur. Ingatan tersebut akan menjadi segar dan lebih mudah terpahat di dalam fikiran selepas anda bangun dari tidur.

5. Pemakanan & kesihatan yang baik

Saya mengambil kira hal ini sebagai satu langkah untuk menguatkan ingatan. Ini adalah kerana kita memerlukan pemakanan & kesihatan yang baik untuk membolehkan kita mengingati sesuatu perkara dengan lebih baik. Amalkan pemakanan kismis setiap hari dan banyakkan makanan berkhasiat. Salah satu petua yang diamalkan nenek saya ialah pemakanan yang seimbang dan hal ini membolehkan beliau mengingati banyak perkara walaupun telah lanjut usia!

Manusia sememangnya dikurniakan kemampuan untuk mengingat namun daya ingatan yang baik dan kuat membolehkan kita belajar, memahami dan mengetahui sesuatu perkara dengan lebih baik.

No comments:

Islamic Song