Sunday, January 24, 2010

MENCETAK GENERASI SALAHUDDIN


Menangani kemelut sosio-politik ummah menerusi manhaj ilmiah ruhaniah

DEWASA ini, umat Islam di seluruh dunia telah menghadapi pelbagai cabaran yang hadir dalam pelbagai bentuk dan aspek yang berbeza. Penindasan berterusan ke atas umat Islam di bumi Palestin serta di seluruh dunia, di samping cabaran-cabaran lain dalam bentuk ekonomi, sosial dan lain-lain, seharusnya menjadi faktor pendorong kepada gerakan-gerakan dakwah dan generasi muda Islam untuk membuktikan kerelevanan Risalah Islam mendepani cabaran-cabaran tersebut.

Untuk merealisasikan hasrat murni tersebut, usaha-usaha untuk memperkukuhkan perwatakan kerohanian di kalangan aktivis gerakan dakwah dan generasi muda Islam perlu digerakkan dengan meneladani kemunculan tokoh-tokoh ulung Islam di masa silam. Sebagai contoh, kejayaan Salahuddin Al-Ayyubi menakluki semula Baitul Muqqadis dari kezaliman tentera Salib, turut didorong dengan kemantapan kualiti kerohanian serta pemikiran yang dimiliki generasi Salahuddin pada ketika itu.

Proses pemantapan ini dipimpin oleh para ulama’ serta tokoh kerohanian tersohor seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali (Al-Ghazali), Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Ibnu Qudamah al-Maqdisi, Ibn ‘Adi, dan deretan ulama’ lain telah mewariskan himpunan khazanah kerohanian yang boleh dimanfaatkan oleh barisan baru generasi umat Islam pada masa kini.

Namun hakikatnya aktivis generasi sekarang agak kurang mementingkan aspek ruhiyyah sehingga kadang kala mengambil sambil lewa dalam perkara keilmuan dan hubungan dengan Allah. Sebab itu mungkin muncul kumpulan yang mengatakan gerakan aktivis Islam hanya mementingkan siasah dan meninggalkan aspek tarbiyah dan dakwah walaupun beberapa program dakwah telah dijalankan. Kerana kadang-kadang kita terlalu mementingkan alat dakwah bukannya untuk mencapai matlamat dakwah itu sendiri

Kita perlu mengkaji bagaimana kejayaan Salahuddin Al-Ayubi yang berjaya melahirkan generasinya yang hebat sehingga berjaya membuka kota Baitul Maqdis terutamanya dalam konteks pembangunan generasi muda sekarang.

Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “ Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Oleh kerana itu, usaha kita mencari manhaj sendiri (acuan) untuk membina dan membangun generasi muda hari ini perlu sama-sama kita fikirkan dan digerakkan oleh semua pihak...

No comments:

Islamic Song