Thursday, April 1, 2010

Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan.

Tajuk asal artikal ini ialah al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd. Artikel ini di tulis oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.Penjelasan yang sangat menarik bagi saya dalam menjelaskan kepada seluruh ahli gerakan Islam pada era kini.Mulakan bacaan anda dengan niat yang murni dan kalam yang suci iaitu bismillah.....

Setiap insan di dalam perjalanan mereka menuju kedewasaan pasti akan melalui
beberapa peringkat hidup bermula daripada bayi kepada kanak-kanak,
remaja sehinggalah dewasa. Setiap peringkat ini memiliki ciri-cirinya
yang tersendiri. Bayi sentiasa perlukan penjagaan, kanak-kanak asyik
bermain, remaja sentiasa bersemangat manakala dewasa bersifat matang
lagi cermat.

Demikianlah juga dengan gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini. Alhamdulillah,
gerakan ini kini sudah mula kelihatan dan dirasai di seluruh pelusuk
dunia, sama ada di negara yang majoritinya Islam atau bukan Islam. Akan
tetapi jika dianalisa dengan mendalam, boleh dikatakan bahawa gerakan
kebangkitan ini lebih memiliki ciri-ciri bersemangat daripada berilmu,
bersifat terburu-buru daripada bertenang, bersifat cuai daripada cermat
dan bersifat baru daripada matang. Dalam ertikata lain, gerakan
kebangkitan Islam mutakhir ini lebih mirip kepada ciri-ciri remaja yang
dalam perjalanan menuju kedewasaan.

Inilah analisa Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dan di atas analisa inilah beliau
menulis buku yang khas bertujuan membimbing gerakan kebangkitan yang
bersifat remaja ini ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam
bimbingannya ini Syaikh al-Qaradhawi telah menggariskan sepuluh poin
utama, iaitu:

Pertama: Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.
Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian
kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi
kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu
membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud
solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang
sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara
keseluruhannya.

Kedua: Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan. Sebahagian gerakan Islam
gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang
lain. Di waktu yang sama gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa yang
bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap sebegini
perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi manfaat Islam
dan umatnya manakala apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain
seharusnya dibetulkan secara positif.

Ketiga: Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah.
Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu,
didapati sebahagian gerakan Islam cenderungkan mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan di dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.

Keempat:Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok.
Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjamaah tetapi diwaktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?

Kelima:Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan.
Islam dalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi
sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama di dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.

Keenam: Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan.
Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia,
kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

Ketujuh:Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif.
Eksklusif ialah sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisihkan orang lain manakala
Inklusif ialah sikap merendahkan diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam alaihi salam, telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sifat eksklusif ini dikikis dan diterapkan
sikap inklusif yang berciri-cirikan jamaah dan kerjasama.

Kelapan: Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana.
Islam adalah agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan
ini disebut sebagai berlebih-lebihan (Ghuluw). Agama pertengahan ini
tidak condong ke sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap
fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah
meremehkan syari‘at Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang
condong ke arah berlebih-lebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar
gerakan Islam harus berada di antara kedua-duannya kerana ini jalan
yang lurus yang akan menghasilkan kejayaan sebenar.

Kesembilan: Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah. Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa telah beralih daripada manhaj
dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka
membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya
akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.

Kesepuluh: Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan.
Antara faktor utamayang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya,
iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan
bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam.

1. Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.
2. Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan
3. Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah.
4. Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok.
5. Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan.
6. Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan.
7. Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif.
8. Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana.
9. Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah.
10. Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan.

No comments:

Islamic Song