27 Sept, Universiti Malaya : Perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) yang sekian lama tidak digunakan sejak kejadian runtuhan tanah dikatakan akan berubah wajah.
Perpustakaan ini tidak lagi digunakan setelah kejadian itu yang berlaku di cerun belakang Blok D berhampiran perpustakaan tersebut Oktober dua tahun lalu yang mengakibatkan kerosakan dinding dan lantai serta kawasan dalaman perpustakaan.
Menurut wakil fakulti Akademi Pengajian Islam UM (APIUM), Saudara Mohd Syahid Mohd Zaini, kerja-kerja menaiktaraf perpustakaan sudah bermula 20 September 2010 dan dijangka siap Julai 2011 nanti.
“Saya ada bertemu dan berbincang dengan Prof. Madya Dr. Ruzman (Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan APIUM) dan saya bertanya mengenai hal ini, beliau cakap kerja-kerja akan dibuat secepat mungkin demi kemudahan mahasiswa di sini (APIUM).”, jelas beliau.
Mohd Syahid juga menyatakan bahawa dengan projek menaiktaraf perpustakaan ini, ianya secara tidak langsung akan membantu dan memudahkan perjalanan pembelajaran mahasiswa dan pensyarah APIUM kerana sebelum ini dua tahun terpaksa ke Perpustakaan Utama UM untuk mencari bahan-bahan rujukan.
“Saya akan memastikan projek ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Jadi saya seru semua mahasiswa di sini (APIUM), manfaatkan sepenuhnya kemudahan yang kita akan dapat selepas ini, kencangkan lagi budaya ilmu di sini.”, tambah beliau lagi. – UMtoday.
No comments:
Post a Comment