Tuesday, December 28, 2010

Demokrasi yang mati.


Amat susah untuk kita memperkatakan mengenai jangkahayat demokrasi di Malaysia ini. Mana tidaknya disuatu pihak (rakyat) amat menyanjung tinggi demokrasi berperlembagaan yang mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlembangaan namun disuatu pihak lagi (penguasa) nampaknya bersungguh-sungguh bersiap siaga melacurkan demokrasi demi kepentingan tembolok dan kuasa yang ada.

Rakyat Malaysia telah lama dimomokkan dengan isu perbalahan kaum, malah boleh dikatakan senantiasa diperbaharui idea-idea perbalahan kaum itu oleh media-media yang dikuasai oleh pemerintah. Tidak cukup dengan isu perbalahan kaum, malah beberapa akta serta ordinan yang termaktub dalam undang-undang negara digunakan untuk memulas telinga rakyat.

Adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis dan pelbagai akta-akta lain digunapakai demi untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada pengetahuan rakyat marhaen. Ianya diguna demi untuk menyelamatkan pemerintah daripada digulingkan oleh rakyat setelah rakyat mendapati bahawa pemerintah telah menyalahgunakan kuasa.

Bagi rakyat Malaysia, apa yang mampu dilakukan hanyalah membebel diwarung-warung tepi jalan, kedai kopi, kantin pejabat mahupun dialam siber. Tapi didalam keadaan yang mencemaskan ini, telinga-telinga dan mata pemerintah ada dimana-mana. Anda (rakyat Malaysia) boleh saja ditangkap pada bila-bila masa dibawah mana-mana akta yang saya sebutkan diatas. Jika anda berborak (lebih dari lima orang) membincangkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kemungkinan untuk anda diangkut oleh pihak polis adalah tinggi sama ada dibawah Akta Hasutan mahupun Akta Polis.

Jika sekiranya anda meluahkan isi hati anda yang secara langsung mengkritik kerajaan dan barisan pimpinan negara di alam siber (internet), kemungkinan pada bila-bila masa anda boleh di jemput oleh Cawangan Jenayah Siber ataupun Cawangan Khas (SB) dibawah Akta Hasutan, Akta Multimedia malah tidak mustahil anda boleh ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sesebuah negara akan menjadi makmur dan teratur perjalanannya bilamana kritik yang di buat oleh mana-mana pihak di ambil perhatian dan diperbaiki oleh pihak pemerintah. Namun ini tidak menjadi kenyataan di Malaysia. Jika anda mengkritik dasar-dasar serta tindakan Kerajaan dan barisan pimpinan negara kini yang anda rasa bercanggah dengan kehendak rakyat, anda pastinya bersedia untuk “disenyapkan”.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, tidak ada walau sekalipun Kerajaan yang memerintah membenarkan rakyat mengkritik dasar-dasar dan tindakan yang di buat secara langsung. Setiap kritik itu pastinya dibalas dengan cara ditangkap di bawah beberapa akta “Draconian” yang bagi sesetengah pihak ianya adalah amat bersesuaian.

Malah yang lebih menyedihkan media perdana hanya menceritakan kebaikan sebelah pihak dan mengkritik serta menghina sebelah pihak yang lain.Inikah yang di panggil keadilan?

Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya telah mengorak langkah cemerlang dalam tempoh kurang 100 hari menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dengan “mengikat mana-mana mulut” yang celupar mengkritik beliau. Itulah kehebatan seseorang bila berkuasa.

Apa yang ada pada rakyat kini cuma “doa” yang InsyaAllah pastinya akan dikabulkan oleh Allah S.W.T yang akhirnya akan mengembalikan Malaysia ke arah demokrasi yang sebenarnya.

Rencam perjuangan.

Saban hari semakin ramai manusia yang berikrar dan berjanji untuk berjuang di medan jihad demi keadilan dan keamanan sejagat.Bila di lihat dari satu sudut ianya suatu perkara yang sangat membanggakan dan sangat baik.

Bahkan Islam memang menekanan aspek-aspek sedemikian dalam kehidupan kita seharian.Peperangan yang berlaku seperti perang Badar,perang Khandak dan sebagainya itu bukanlah hujah untuk menafikan bahawa Islam menolak keamanan dan kemakmuran.

Akan tetapi tercetusnya peperangan-peperangan itu adalah di sebabkan serangan dari pihak kafir dulu.Maka barulah tentera-tentera Islam membalas peperangan dan mempertahankan umat Islam dan orang-orang lemah pada masa dan ketika itu.

Demi menjaga keamanan dan mengelak dari berlakunya kezaliman dan kemaksiatan yang dahsyat, maka jatuh hukum wajib ke atas umat Islam untuk berperang pada masa itu.
Berjuangnya umat Islam pada masa itu di atas satu ikatan persaudaraan yang sangat kuat dan berjuangnya tentera-tentera Islam tidak lain hanya kerana Allah SWT.

Namun kini juga ramai umat Islam yang mengikat jalinan ukhwah fillah.Mereka mahu berjuang mempertahankan Islam dan menyekat sebarang kezaliman serta kemaksiatan dari berleluasa.

Akan tetapi realiti yang berlaku setelah sebulan dua berlalu dalam keadaan tinggal berjauhan dari rakan-rakan seperjuangan dan langsung tidak berhubung,maka ikatan ukhuwah yang di bina semakin hari semakin retak.Malah ia mungkin jatuh berderai bila mana masalah ini tidak di selesaikan dengan baik.Ikrar serta sumpah setia dalam perjuangan menentang kemungkaran semakian expired date.Itulah kebenaran bahawa iman manusia itu bertambah dan berkurang.

Malah yang lebih menyedihkan lagi ialah bila mana mereka yang berikrar untuk berjuang bersama-sama dalam menegakkan kemakrufan dan mencegah memungkaran itulah yang melawan perjuangan sahabat-sahabatnya dahulu.Mudah kata belot.Dalam peperangan orang seperti ini layaknya dia di bunuh.Dia jadi punca lumpuhnya satu-satu gerakan Islam.Contahnya seperti Mustafa Kamal Attartub.Satu orang manusia yang telah melumpuhkan sistem khalifah.

Jesteru saya menyeru kepada mereka-mereka yang telah merintima'kan diri mereka dalam gerakan Islam, janganlah kalian leka dengan permainan dunia dan teruslah thabat dalam perjuangan agama Allah ini.Dalam medan perjuangan memerlukan pengorbanan sebab kita di cipta adalah untuk berjual beli dengan Allah.Allah SWT akan membeli hamba-hambaNya yang benar-benar ingin berjuang keranaNya sahaja.

Friday, December 10, 2010

Mahasiswa bantah kenaikan harga barang

PUTRAJAYA, 10 Dis: Tiga pemimpin mahasiswa yang ditahan polis selepas berjaya menyerahkan memorandum bantahan kenaikan harga barang kepada Jabatan Perdana Menteri telah dibebaskan jam 6.15 petang ini dengan jaminan mulut sehingga 23 Disember jika ada perbicaraan.

Mereka ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

Mereka ditahan polis selepas dihalang berkumpul di luar Masjid Putrajaya selepas selesai menyerahkan memorandum kepada wakil JPM, Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk JPM.

Pada awal lagi polis menghalang mereka daripada mengadakan perhimpunan dan melaungkan sebarang slogan sebaliknya hanya membenarkan tiga daripada kira-kira 100 yang hadir untuk masuk menyerahhkan memorandum.

Namun dalam perjalanan ke JPM, mereka sempat melaungkan slogan 'Student Power' dan Shukri menyatakan rasa kesal kerana pihak polis enggan membenarkan mereka menyamnpaikan maklumat kepada rakyat menggunakan pembesar suara.

Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Hassan ditemani Presiden Solidariti Mahasiswa (SMM) Shazni Munir dan Ridzuan masuk menyrahkan memorandum.

Sementara menunggu Abdul Moin, Syazwan sempat bercakap kepada media mengenai memorandum tersebut.

Ianya mengandungi empat tuntutan antaranya mahu gaji Menteri dikaji semula dan dikurangkan bagi mengurangkan kos pengurusan dan perkhidmatan awam.

Gamis juga mahu subsidi barangan yang telah dipotong dikembalikan semulaserta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.

Mereka juga mahu Menteri yang memberikan jaminan bahawa tiadanya kenaikan harga minyak tahun ini bertangggungjawab di atas jaminan yang dibuat itu selain mengkaji semula dasar berkaitan tenaga untuk menghasilkan satu dasar yang bersepadu memandangkan bahan bakar dan tenaga saling bergantung.

Dalam pertemuan kira-kira lima minit itu, Abdul Moin berkata beliau akan memanjangkan memorandum itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selepas selesai penyerahan itu, mereka meminta kebenaran untuk berkumpul namun tidak dibenarkan pihak polis termasuk polis berpakaian preman.

Difahamkan, Ridzuan ditahan ketika beliau meminta kebenaran untuk berucap diikuti Shukri yang cuba menghalang polis daripada menahan Ridzuan.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya manakala Mohd Shahruldeen pula ditahan di hadapan IPD Putrajaya.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10.

Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

BANTAHAN KENAIKAN HARGA PETRO, DIESEL, LPG dan GULA


Petition To: "PERDANA MENTERI MALAYSIA",

Pada 4 Disember 2010, masyarakat dikejutkan dengan kenaikan harga barangan iaitu petro, diesel dan juga gula. Namun, bagi menggaburi mata masyarakat, media menggunakan istilah "Pengurangan subsidi bagi petrol, diesel dan juga gula." Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, RON97 RM2.30 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Alasan pengurangan subsidi itu adalah kerajaan ingin menguruskan kedudukan fiskalnya dengan meningkatkan jumlah kutipan hasil dan dalam masa yang sama, mengurangkan perbelanjaan. Malah, kerajaan melihat pengurangan subsidi tersebut dapat mengurangkan lagi kes penyeludupan barangan tersebut ke negara-negara jiran. Namun, alasan ini dilihat tidak relevan bersesuaian dengan tindakan kerajaan itu sendiri, sebagai contoh pembinaan Menara 100 tingkat, yang akan menelan belanja RM5 billion, kos permulaan penubuhan PEMANDU yang menelan belanja RM66 juta, dan bakal membeli aset baru iaitu pesawat pejuang.

Kenaikan harga barangan tersebut telah memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat umum kerana dilihat telah membebankan mereka dan menaikkan belanjawan seharian bagi seisi keluarga. Malah, pengurangan subsidi itu juga telah memberi tempias kepada mahasiswa, seperti kenaikkan harga rumah sewa dan perbelanjaan yang lain.

Oleh itu, MAHASISWA akan bersama RAKYAT bagi menyuarakan HAK mereka ini. Pungutan suara ini diperlukan untuk bersama-sama menyuarakan BANTAHAN atas kenaikan harga barangan tersebut.


Thursday, December 9, 2010

Mahasiswa sebagai third force dan check and balance



"Kemunculan Lekuk Ke-3 boleh berlaku dgn sendirinya. Namun kemunculannya tanpa diurus dgn baik akan menimbulkan pelbagai kekeliruan kpd ahli & org ramai. Apatah lg, masalah dalaman yg berpotensi membangkitkan konflik tanpa kesudahan & membentuk krisis yg mungkin bisa merumitkan" Maka pada 8 Dis 2010,di KLSCAH telah berlangsung satu diskusi yang menarik berkaitan menuju PAS baru.. Syabas kpd pewacana (Dr mujahid) & barisan panelis; Dr Aziz Bari, Ustaz Zaharuddin Mohamad & Prof. Madya Ghazali Mahyuddin. Diskusi penuh hujjah, polemik & kontroversi.

Saya sebagai mahasiswa yang mengambil jurusan Sains Politik Islam merasakan diskusi seperti ini perlu kerap di buat bukan sahaja oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bahkan oleh parti-parti yang lain.Keterbukaan dalam perbincangan dan lontaran buah fikiran secara ilmiah meningkatkan lagi nilai-nilai keintelektulan dan menyuburkan lagi budaya ilmu dalam hidup kita.

Sebagai mahasiswa sepatutnya kita sudah cerdik dan tahu untuk membuat penilaian terhadap kancah dunia politik yang rancak dengan isu-isu semasa.Kita perlu kaji sejarah pertubuhan satu-satu parti politik,dasarnya,ideologi yang di bawa dan prinsip-prinsip yang parti perjuangkan.

Keaslian mahasiswa sebagai third force dan check and balance kini semakin terhakis kerana mahasiswa seakan di lihat mandul tentang ilmu politik dan langsung tak mahu cakna tentang isu-isu semasa.Sedangkan Islam tak pernah pun mengasingkan politik dalam kehidupan.Mahasiswa hanya tahu datang ke Universiti atau kolej untuk dapatkan pointer tinggi.

Sedarlah bahwa pointer bukanlah indikator tepat untuk menilai seseorang mahasiswa itu pandai dan cerdik.Akan tetapi akhlak dan sikap mahasiswa yang baik itu jauh lebih tinggi untuk di perhati dan di nilai.

Akan tetapi bukanlah saya maksudkan pointer itu tidak penting.Pointer penting cuma jangan hanya itu yang di kejar dan langsung mengabaikan perkara sekeliling.Sebagai third force dan check and balance kepada kepimpinan negara sama ada alik Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, maka informasi tentang perkembangan semasa mereka perlulah kita telusuri dengan baik.

Ini penting kerana segala perkara yang di perjuangkan oleh mereka yang memberikan manfaat kepada rakyat dan mahasiswa perlulah kita sokong dan sambut dengan baik.Akan tetapi jika ada kelompongan dan kerosakkan yang mereka berikan kepada rakyat dan mahasiswa maka kita sebagai mahasiswa perlulah bangkit menegur dan menasihati mereka agar mereka sedar dan kembali ke pangkal jalan.

Maka konklusinya, sedarkan diri untuk cakna dengan isu-isu semasa dan ikutilah segala perkembangan politik negara dengan baik kerana kita adalah penyambung tampuk pemerintahan negara kelak.

Sunday, December 5, 2010

Memorandum Isu Air Selangor.

Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

Islamic Song