Wednesday, May 4, 2011

Parlimen Mahasiswa sekadar boneka


Semasa diumumkan mengenai penubuhan Parlimen Mahasiswa di Universiti Sains Malaysia(USM), saya bersama rakan-rakan berasa teruja. Timbul persoalan di benak, apakah implementasi Parlimen Mahasiswa ini adalah fasa pencerahan bagi mahasiswa yang sudah sekian lama hak dan autonomi mereka dinafikan?

Namun setelah beberapa penelitian dan kajian dibuat antara saya dan rakan-rakan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berserta wakil Perwakilan Pelajar daripada USM, Parlimen Mahasiswa dan pelaksanaannya amat menghampakan.

Boleh saya katakan, Parlimen Mahasiswa tidak ubah seperti boneka. Mahasiswa perlu celik meneliti perkara dasar bahawa Parlimen Mahasiswa masih berada di bawah telunjuk Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Maka jelaslah mahasiswa masih terikat dengan perkara 15, perkara 16 malah masih ditadbir di bawah seorang Naib Canselor yang mempunyai kuasa veto untuk memutuskan apa saja.

AUKU secara tidak langsung memberi kesan terhadap ruang lingkup perbahasan dan perbincangan di dalam Parlimen Mahasiswa. Walaupun di sebut bahawa fungsi Dewan ialah untuk membahaskan isu-isu semasa yang berlaku di peringkat luar kampus iaitu di peringkat nasional dan antarabangsa, namun persoalannya sejauhmanakah perbahasan itu akan berlaku secara bebas tanpa disekat?

Sebagai contoh, di dalam 'standing order' Dewan Perundingan Pelajar di Bahagian 3(Peraturan-peraturan berbahas) perkara 40 (5) (b) menyebut bahawa adalah salah pada peraturan menggunakan perkataan-perkataan membangkitkan perasaan anti Kerajaan dan Negeri. Lalu bagaimana mahasiswa sebagai entiti intelektual di dalam negara boleh berfungsi sebagai agen semak imbang terhadap dasar-dasar negara? Apakah mengkritik dasar negara dianggap anti Kerajaan?

Selain itu, Dewan parlimen ini juga mempunyai limitasi perbahasan.Hanya beberapa aspek dan ruang lingkup perkara sahaja yang di benarkan di bahaskan.Akhirnya mahasiswa hanya bermain dalam skop yang kecil sekitar universiti sahaja.Segala keputusan yang di buat di Dewan parlimen pula mestilah di serahkan kepada pihak Naib Canseler untuk di sahkan sebelum di implimentasikan di kampus.Maka jelas menunjukkan mahasiswa hanya di berikan ruang untuk berbincang tetapi keputusan akhir perbincangan tetap akan di aturkan oleh pihak lain.

Setelah 40 tahun AUKU mencengkam mahasiswa, perkara apa pun yang ditubuhkan bertujuan memuaskan hati mahasiswa adalah boneka. Parlimen Mahasiswa model USM menerima nasib yang sama seperti Sudut Pidato yang diusahakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Lalu, bagaimanakah model Parlimen Mahasiswa yang diidamkan? Hanya 3 falsafah utama : Autonomi, Kebebasan dan Demokrasi. Selagi mana ketiga-tiga falsafah ini tidak diimplementasi dalam Parlimen Mahasiswa, maka badan ini selamanya menjadi tidak relevan dan layak dipandang sepi oleh mahasiswa. Semoga usaha untuk penambahbaikan dapat di usahakan bersama demi melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan progresif.

No comments:

Islamic Song