Kebebasan akademik sebenarnya menjadi isu 'evergreen' yang semakin didiamkan oleh warga universiti dan masyarakat. Namun isu pergantungan Prof Dr. Aziz Bari yang diperjuangkan oleh mahasiswa baru-baru ini menjadi batu loncatan kebangkitan semula perjuangan menentang kerakusan politik yang menghalang hak kebebasan yang diiktiraf oleh perlembagaan.
Apabila seseorang dihalang daripada menyatakan pendapat terhadap sesuatu isu, halangan tersebut hakikatnya adalah sebuah jenayah. Jenayah yang dimaksudkan di sini ialah perlanggaran terhadap apa yang dijamin sendiri oleh Perlembagaan Malaysia yang merupakan sumber undang-undang tertinggi di negara ini.
Adalah tepat melabelkan tindakan menyekat kebebasan sebagai sebuah jenayah. Apatah lagi ia juga melanggar hak asasi manusia, di mana semua orang diberi kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan tanpa sebarang halangan.
Secara logika, amat menghairankan apabila pemimpin di negara ini lebih suka kepada kemunduran daripada meraikan kritikan rakyat untuk penambahbaikan. Konsep semak imbang, ruang ketiga dan pandangan masyarakat sivil dibakulsampahkan. Pemimpin lebih suka punya rakyat yang tidak cerdik berbanding rakyat yang celik.
Seharusnya, dalam kondisi dunia tanpa sempadan kini, rakyat bebas menilai secara mikro tindakan pemimpin negara. Dengan itu, kritikan yang disertakan dengan hujah empirikal yang bertunjangkan kajian harus dibalas dengan hujah. Malangnya hari ini, undang-undang diperkudakan semata-mata untuk menyekat pandangan rakyat.
Mahasiswa komited memperjuangkan kebebasan berakademik tidak terhad kepada para intelektual di universiti sahaja. Sesiapa sahaja yang menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman haruslah dipertahankan atas prinsip hak asasi yang mesti dipelihara.
No comments:
Post a Comment