Thursday, November 10, 2011

Mahasiswa bersedia hidup tanpa AUKU

Saya tertarik untuk menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan AUKU ketika beliau menjawab soalan seorang peserta Konvensyen Integriti Nasional 2011 di PICC, Putrajaya, baru-baru ini.

“Are you ready for it? Kalau saudara kata yes, mengapa tidak? Mungkin kerajaan akan kata, kalau begitu kita tak perlu akta lagi ataupun kita pinda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana satu kuasa perundangan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau pelajar sudah kata, “saya tahu apa yang saya patut buat dan kerajaan tidak perlu bimbang, dan kami akan tumpukan sepenuh masa kepada pelajaran serta penglibatan dalam politik hanyalah untuk mengetahui apakah politik itu supaya mereka tidak terasing daripada perubahan semasa dalam negara,” soal pokok goes back to you (mahasiswa).

“Kalau saudara kata kami sudah bersedia dan tak perlu kerajaan mengadakan sistem untuk perundangan kawalan, maka selepas ini kita akan katakan eloklah ia dikaji. Ini adalah pandangan secara kasar saya,” kata Muhyiddin..

Jawapan yang berani dan mengkagumkan.Namun jika sekadar retorika, politik itu suatu penipuan dan omongan kosong yang sangat menjijikkan.Jika ditanya mahasiswa adakah sudah bersedia atau tidak, saya selaku pimpinan mahasiswa akan menjawab "mahasiswa sudah lama bersedia untuk hidup tanpa AUKU".

Akan tetapi persoalannya sekarang adakah kerajaan benar-benar serius untuk memansuhkan AUKU? Kita sedia maklum bahawa AUKU merupakan akta yang memang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. AUKU juga merupakan alat yang paling berbisa kepada Hal Ehwal Pelajar di kampus bagi mengekang kemaraan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan sesuatu isu.

AUKU sememangnya perlu di mansuhkan kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 pada tahun lepas sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.

Pada pandangan saya,niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas mahasiswa.Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.

Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.

Kewujudan AUKU telah menyekat peranan mahasiswa yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang kepada pihak kerajaan. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran.

Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan dan cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi?

Saya fikir seandainya mahasiswa terlibat dengan politik tidak bermaksud mereka akan mengabaikan pelajaran mereka.Pelajaran tetap perkara pertama yang perlu diutamakan.Namun dalam masa yang sama mahasiswa itu perlulah tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa negara mahupun isu-isu bersifal global. Bahkan bukan sekadar perlu tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa,mahasiswa juga perlu merespon dan membawa solusi terhadap sesuatu isu itu di atas idea pandang mahasiswa.

Justeru saya berharap agar segala persoalan yang dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam konvensyen intergriti baru-baru ini perlulah dikotakan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.Jika ISA boleh dimansuhkan,saya fikir AUKU juga tidak ada masalah untuk dimansuhkan.Saya amat yakin seandainya AUKU dimansuhkan, mahasiswa Malaysia akan lebih matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara dengan lebih baik.Lantas mencerminkan bakal tampuk kepimpinan negara yang benar-benar berkualiti dan berintelektual.

1 comment:

wan muhammad hazem said...

Saya sokong pendapat saundara.... Jemputlah lihat pendapat saya mengenai perkara yang sama... Insyaallah, kita berkongsi pendapat dan pandangan...

http://wanmuhammadhazem.blogspot.com/2011/11/auku-apa-pendapat-anda-pula.html

Islamic Song