Monday, February 1, 2010

Suasana pilihanraya kampus UM



Suasana meriah yang menyelubungi Universiti Malaya pada 25 Januari 2010 iaitu hari penamaan calon bagi Varsiti tersebut, meneruskan tradisi kesuburan demokrasi menyaksikan pertembungan pihak Pro-Mahasiswa yang menguasai kabinet MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa) pada sesi lepas, dengan pihak pembangkang, Penggerak mahasiswa, dalam sesi pilihanraya kampus kali ini.

Pertembungan kali ini dianggap sengit dengan pelbagai isu yang panas mewarnai pilihanraya kampus. Bagi pihak Pro-Mahasiswa sendiri, pelbagai isu yang menarik perhatian seperti duit tajaan RM5000 untuk jentera pilihanraya Penggerak Mahasiswa, berkenaan e-undi serta demokrasi kampus. Kesemua isu-isu ini menarik perhatian kerana mempunyai hubung kait dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya sendiri terutamanya kaitan timbalan naib canselor sendiri.

Pro-Mahasiswa pada pilihanraya kali ini mencipta sejarah dengan pertama kali menampilkan calon daripada pelajar asing selain pelajar tempatan. Ini dapat dilihat dengan variasi pelbagai latar belakang, kaum dan budaya, Pro-Mahasiswa berupaya menampilkan calon yang berkaliber dan berkepimpinan serta optimis untuk mencapai kemenangan. Berbanding Penggerak Mahasiswa yang ketandusan pemimpin yang berkaliber sehingga sanggup mencalonkan calon yang tidak memenuhi syarat pencalonan.

Secara keseluruhannya perjalanan kempen hanya diberi masa selama 2 hari berbanding kempen pilihanraya sesi lepas iaitu sebanyak 4 hari. Selama 2 hari inilah setiap calon diberi peluang untuk berkempen kesetiap fakulti dan kolej kediaman. Pelbagai provokasi yang ditimbulkan terutamanya dari pihak Penggerak Mahasiswa sendiri. Faktor kolej kediaman yang dikuasai oleh Penggerak Mahasiswa menyempitkan ruang kepada calon dari Pro-Mahasiswa untuk berkempen kesetiap kolej kediaman. Tindakan ini amat berat sebelah dan layanan tidak adil ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh pihak pentadbiran khususnya hal ehwal pelajar(HEP). Berlaku di kolej kediaman ke-3, 4, 7 dan 9 apabila calon dan penyokong Pro-Mahasiswa tidak dibenarkan masuk dan berkempen. Setelah rundingan baru dibenarkan masuk itupun secara bersyarat.

Kain rentang dan poster-poster calon yang bertanding mewarnai pemandangan disekitar Universiti Malaya menarik perhatian. Taktik jijik dan kotor sudah sinonim dengan Penggerak Mahasiswa apabila mereka mencabut dan mengoyakkan kain rentang dan poster calon Pro-Mahasiswa. Ini dapat dikesan kegiatan mereka pada waktu tengah malam apabila mereka berkonvoi secara beramai-ramai menaiki motorsikal membuat kacau serta mensabotaj kain rentang dan poster Pro-Mahasiswa. Pihak Pro-Mahasiswa telah melaporkan kepada pihak keselamatan UM tetapi kelihatannya tiada apa-apa tindakan yang diambil terhadap mereka. Kelihatan seolah-olah pihak keselamatan sengaja tidak mahu mengambil tindakan.

Pada pilihanraya kampus kali ini mahasiswa yang turun mengundi agak merosot akibat daripada publisiti kurang meluas mengenai pilihanraya kali ini. Tetapi secara keseluruhan perjalanan pilihanraya agak memuaskan dan saya mengharapkan pilihanraya akan datang dapat sama-sama kita tingkatkan kualiti dan kesedaran mahasiswa untuk turun mengundi dan melibatkan diri dalam pilihanraya kampus...

No comments:

Islamic Song