Semasa diumumkan mengenai penubuhan Parlimen Mahasiswa di Universiti Sains Malaysia(USM), saya bersama rakan-rakan berasa teruja. Timbul persoalan di benak, apakah implementasi Parlimen Mahasiswa ini adalah fasa pencerahan bagi mahasiswa yang sudah sekian lama hak dan autonomi mereka dinafikan?
Namun setelah beberapa penelitian dan kajian dibuat antara saya dan rakan-rakan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berserta wakil Perwakilan Pelajar daripada USM, Parlimen Mahasiswa dan pelaksanaannya amat menghampakan.
Boleh saya katakan, Parlimen Mahasiswa tidak ubah seperti boneka. Mahasiswa perlu celik meneliti perkara dasar bahawa Parlimen Mahasiswa masih berada di bawah telunjuk Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Maka jelaslah mahasiswa masih terikat dengan perkara 15, perkara 16 malah masih ditadbir di bawah seorang Naib Canselor yang mempunyai kuasa veto untuk memutuskan apa saja.