Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi dengan rahmat dan limpah kurniaNya, Allah SWT masih memberikan kepada kita kesempatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan baik dan selesa.Kini kita telah masuk awal Muharam iaitu bulan pertama tahun Islam 1433 H.Pada tarikh yang bersejarah inilah bermulanya penghijrahan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah.Lantas terbinanya sebuah Daulah Islamiah ( negara Islam ) yang pertama yang dipimpin ketika itu oleh baginda Nabi Muhammad SAW.
Bermula dari peristiwa bersejarah inilah Islam semakin tersebar luas dan keadilan semakin bersinar di Madinah.Undang-undang dan perlembagaan Islam dibina, tamadum Islam mula diperkasa, kehidupan penduduk Madinah menjadi contoh dunia sehingga kepimpinan baginda Nabi Muhammad SAW menjadi ikutan semua manusia.Bahkan dari peristiwa hijrah ini jualah dijadikan titik pemula dalam pengiraan kalender Islam.
Matlamat yang paling utama dalam penghijrahan ini adalah untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada umat manusia.Keadilan, kesejahteraan, keamanan menjadi keutamaan dan manakala sebarang kezaliman, kemaksiatan ,perjudian kesemuanya dihapuskan.
Melihat kepada kehidupan kita kini yang senantiasa dihidangkan dengan ujian dan cabaran, maka ilmu dan pengalaman perlu menjadi penguat dalam menyelesaikan segala halangan.Sebab itulah menuntut ilmu itu hukumnya wajib kepada kita semua tanpa mengira usia, pangkat, bangsa mahupun agama.
Berkata Khalifah dunia Islam yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab, " hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung".Maka perlulah kita sentiasa bermuhasabah dan menginsafi segala kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini untuk dijadikan sebagai pengajaran.Lantas berusaha memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih berkualiti dan produktif.
Di awal tahun ini juga saya ingin menyeru anda semua untuk kita sama-sama betulkan niat sepertimana hadis baginda yang berbunyi " setiap amalan itu bermula dengan niat dan setiap perkara itu dilakukan mengikut apa yang diniatkan". Fokus kepada matlamat yang ingin dicapai dalam sesuatu gerak kerja agar impian kita itu menjadi kenyataan.
Justeru saya menyeru kepada seluruh mahasiswa dan umat manusia untuk kita sama-sama memperbaiki dan memajukan diri kita kepada suatu mercu tanda yang lebih baik dari sebelum ini.Ingatlah bilamana kita senantiasa menyibukkan diri kita dengan perkara-perkara yang bermanfaat, secara langsung kita akan dapat mengelak diri kita dari perbuatan dan tindakkan yang menyesatkan serta merugikan.Bersama kita manfaatkan segala ruang dan peluang yang kita ada demi kebaikan kita bersama.InsyaAllah..Sekian wassalam..
No comments:
Post a Comment