Friday, January 6, 2012

BEBASKAN INSTITUSI POLIS DARI PENGARUH PARTI POLITIK

Perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini sekali lagi mencetuskan fenomena mahasiswa dalam membawa suara anak muda dalam menegakkan keadilan. Gerakan BEBAS yang komited dengan perjuangan ingin membebaskan akademik dan mengembalikan autonomi kampus telah berhimpun di hadapan UPSI malam ambang tahun baru 2012. 

Malangnya tindakan kekerasan yang dilakukan beberapa pegawai polis terhadap aktivis mahasiswa menyebabkan Pengerusi BEBAS saudara Safwan Anang cedera dan dikejarkan ke Hospital Slim River. Beliau mendakwa telah ditumbuk di muka dan ditendang oleh pihak polis. Dalam kejadian itu juga 17 aktivis mahasiswa telah ditangkap.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak polis ini bukan sahaja bertentangan dengan hak asasi manusia malah juga bersalahan dari sudut etika polis. Mahasiswa bukanlah penjenayah yang perlu diperlaku sebegitu rupa. Tindakan yang dilakukan oleh pihak polis kepada mahasiswa di UPSI menunjukan wujud budaya gangsterisme dalam kalangan polis. 

Saya ingin menasihati pihak polis bahawasanya kami mahasiswa bukannya hendak melawan atau melakukan rusuhan kepada negara namun kami sebagai rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan pandangan.

Ketua Polis Negara seharusnya bertanggungjawab dan berlaku adil dengan membawa pegawai polis yang terlibat dalam memukul aktivis mahasiswa baru-baru ini ke muka pengadilan supaya insiden salah laku pegawai polis tidak berulang lagi. Seharusnya institusi polis juga harus menjadi badan yang bebas dari sebarang cengkaman kepentingan politik sesetengah pihak sehingga sanggup melanggar etika polis.

Kenyataan Datuk Khalid Nordin yang mengancam akan mengambil tindakan tegas terhadap aktivis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan UPSI menunjukkan wujudnya campur tangan dari pihak luar dalam  universiti. Sepatutnya Naib Canselor atau pentadbiran universiti sendiri yang akan menentukan samada perlu atau tidak untuk mengambil tindakan bukannya pihak Menteri Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.  

Beliau sebagai ‘bapa’ kepada mahasiswa seharusnya turun padang untuk mendengar keluhan dan pandangan ‘anak’nya sendiri. Namun sikap yang diambil oleh beliau untuk mengambil tindakan tegas mencerminkan beliau tidak perihatin terhadap mahasiswa.

Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa dan anak muda untuk besama-sama dalam menyokong gerakan BEBAS untuk mengembalikan autonomi kampus dan membebaskan akademik. Kita bersama lakukan sedikit pengorbanan untuk melakukan perubahan demi  memastikan keadilan dan keharmonian negara dapat dilaksanakan. 
 
Penulis ialah
Mohd Syahid b Mohd Zaini
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) merangkap
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) 
0148404924

 

No comments:

Islamic Song