Beberapa informasi yang saya terima daripada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkaitan isu utama mereka kini iaitu masalah bekalan air yang tidak mencukupi di Pekan. Masalah ini berlarutan adalah berpunca daripada tekanan air yang rendah.
Maka akibat daripada itu,mahasiswa UMP Kampus Pekan yang mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2000 orang terpaksa berkongsi sumber air yang sama daripada tangki yang berada di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitar.
Setelah beberapa kali siri perbincangan antara pimpinan mahasiswa UMP bersama pihak pentadbiran dan pihak Jabatan Bekalan Air di sana,pihak JBA memaklumkan bahawa kemungkinan pihak mereka akan memperuntukkan saluran air yang baik untuk keperluan asas bekalan air di UMP.Namun jangkaan projek saluran air tersebut akan siap pada dis tahun ini.
Banyak persoalan timbul berkaitan isu ini dalam kalangan mahasiswa dan barisan pentadbiran mahupun rakyat setempat.Persoalannya mengapakah projek pembinaan UMP yang kini telah pun menempatkan mahasiswa di sana dalam keadaan tidak lengkap dengan keperluan asas seperti bekalan air?
Mengapakah kawasan Perdana Menteri boleh jadi seperti itu sedangkan beliau merupakan ahli parlimen Pekan.Adakah beliau tidak turun padang dan tidak ambil tahu permasalahan mahasiswa di UMP yang kian parah?Di mana duit peruntukan yang disalurkan untuk membina saluran air di UMP tersebut?Sedangkan dalam meluluskan sesuatu projek pastinya perkara asas seperti bekalan air ini seharusnya telah di atasi dengan baik.
Apa yang yang mahasiswa inginkan sekarang ialah kecaknaan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak agar segera turun kawasan dan atasi permasalahan air ini dengan segera.Seiring dengan slogan "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan" yang sering beliau laungkan, maka mahasiswa mohon untuk laungan tersebut diterjemahkan dalam bentuk tindakan segera oleh beliau.
Isu bekalan air yang bermasalah ini bukan hanya membelenggu dalam kalangan mahasiswa sahaja namun diperingkat rakyat setempat juga sensara dengan kekurangan keperluan asas bekalan air tersebut. Seandainya isu ini tidak dapat di atasi dengan baik oleh Perdana Menteri saya berpandangan kemungkinan besar rakyat akan menolak beliau dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang tidak lama lagi akan berlangsung. Mohon perhatian oleh pimpinan kawasan Pekan terutama Perdana Menteri untuk segera atasi permasalahan ini.Sekian.
Mohd Syahid Bin Mohd Zaini
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
0148404924
No comments:
Post a Comment