Tuesday, November 30, 2010

Jauhi maksiat.

Suatu ketika Khalifar Umar Abdul Aziz di tanya oleh seorang pemuda tentang bala ujian Allah yang turun kepada manusia."Wahai Umar aku iangin bertanya apakah punca Allah turunkan azab dan ujian kepada manusia."

Jawab Umar Abdul Aziz,"Sesungguhnya tidaklah Allah turunkan azab kepada manusia melainkan kerana tiga perkara."

1- Apabila manusia sentiasa berterusan melakukan maksiat kepada Allah.

2- Apabila manusia sudah berani melakukan maksiat kepada Allah secara terang-terangan tanpa segan silu.Malah berbangga dengan maksiat yang mereka lakukan.

3- Apabila orang-orang alim hanya sekadar melihat maksiat yang berlaku secara berleluasa tanpa mencegah dan menegur maksiat itu.

Maka tunggulah azab Allah SWT yang pasti akan turun kepada hamba-hambaNya yang berdusta dan menyekutkan Allah.Sesengguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Sidang pembaca yang saya kasihi,

Sejarah banyak mengajar kita erti kehidupan.Sejarah di cipta adalah untuk umat manusia akan datang insaf dan menjadi lebih hebat.Tatkala maksiat berleluasa,pemerintah zalim dan sering berdusta, maka persoalannya siapakah yang akan membetulkan mereka yang jahil dan jauh terpesong dari agama Islam.

Adakah kita di kalangan orang yang terpilih untuk mencegah dan menegur serta membetulkan mereka yang terpesong itu?Jika di nilai dari kekuatan insani seorang diri.Yakinlah bahawa kita terlalu kerdil dan lemah.

Sebab itulah Islam menganjurkan untuk kita berjemaah.Antara sebabnya adalah untuk mendapatkan kekuatan yang jauh lebih hebat dalam melaksanakan sesuatu gerak kerja.

Al-Quran , hadis dan Syariah Islam di turunkan Allah kepada manusia adalah untuk tatapan dan panduan kehidupan.Namun hanya sedikit di kalangan manusia yang membuka , mengkaji serta menghayatinya dalam kehidupan.

Harapannya agar kitalah generasi menyambung mata rantai perjuangan Nabi Muhammad SAW. Semoga usaha kecil yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang baik sebagai saham kita di akhirat kelak dan semoga kita akan mengecapi nikmay Syurga Allah yang abadi.amin Ya Rabb..

Tuesday, November 23, 2010

Salam Imtihan buat anda.


Salam imtihan,

Kepada seluruh warga kampus Universiti Malaya dan sahabat-sahabat di kampus lain, saya mengucapkan selamat menjalani peperiksaan akhir semesta.

Usaha + doa + tawakal = kejayaan.

Jangan dek di sebabkan nak exam baru la nak solat hajat,memohon maaf kat kawan-kawan, mula melihat buku dan baru nak mengulang kaji pelajaran.

Tetapi jadikanlah segala amalan tadi sebagai aktiviti harian kita dan niatkannya kerana Allah SWT.Maka ia akan di kira sebagai ibadah insyaAllah..

Buat akhirnya,saya doakan agar segala urusan kita akan di permudahkan Allah SWT dan semoga kejayaan akan menjadi milik kita ...Ameen Ya Robb..

Friday, November 19, 2010

Bagaimana Bercouple Cara Islam?


Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.

Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.

Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

Masyarakat Sudah Lari

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.

Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.

Konsep Meminang

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.

Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.

Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?

Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

- Artikel iluvislam.com

Wednesday, November 17, 2010

Selamat Hari raya Aidil Adha


Salam lebaran,

Bila tibanya hari raya korban, maka kisah yang paling polular pun akan mula di ingati iaitu kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Allah Ismail.

Wahai teman-teman yang saya kasihi,ayuh kita mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah taala.

Satu persoalan timbul adakah Nabi Ibrahim sangat berbesar hati untuk melaksanakan perintah tersebut? Di dalam al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Ibrahim bingung, sedih dan berat hati Nabi Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah itu lalu ditanyakan hal ini kepada Nabi Ismail sendiri. Hal ini diceritakan di dalam 37:99-111.


Bahkan, ada riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah berkata ketika meninggalkan Ismail dan ibunya di kawasan yang terpencil, “Jika tidak diperintahkan oleh Allah, tidak mungkin aku akan meninggalkan kamu di sini”.

Di sini jelas bahawa Nabi Ibrahim sendiri juga merasa berat hati untuk melaksanakan perintah Allah, namun kerana mentaati Allah, Nabi Ibrahim tetap melaksanakan perintah tersebut. Dan atas pengrorbanan besar Nabi Ibrahim itu, Allah telah menaikkan darjatnya dan mengelarkan Nabi Ibrahim sebagai Khalilur-Rahman iaitu sahabat ar-Rahman.

Monday, November 15, 2010

Nasihat Hassan Al-Basri..

Suatu ketika bila mana Hassan Al-basri baru selesai kuliahnya,maka datang pemuda dan bertanya beberapa soalan kepada beliau.Hassan Al-Basri terkenal dengan seorang yang berilmu dan pandai berhujah.

Maka soal pemuda itu kepada gurunya Hassan Al-Basri."Sesungguhnya aku tanam tumbuh-tumbuhan di ladangku tapi tak menjadi-jadi juga.Jadi apakah yang perlu aku lakukan wahai Hasan Al-Basri"?

Dengan mudah Hassan Al-Basri menjawab."Maka beristigfarlah kamu kepada Allah".

Kemudian datang pemuda yang lain dan bertanya akan masalahnya."Wahai guruku sebenarnya aku telah lama berkahwin tetapi aku dan isteriku masih belum di kurniakan anak.Perkara apakah yang perlu aku lakukan untukku mendapatkan anak wahai Hassan Al-Basri"?

Jawab Hassan Al-basri."hendaklah kamu beristigfarkepada Allah SWT".

Muncul seorang lagi pemuda dan bertanya soalan kepada Hassan Al-Basri."sesungguhnya di tempat aku sudah lama kemarau panjang.Apakah tindakkan yang perlu aku lakukan untuk memastikan kemarau tidak berpanjangan"?

Maka balas hassan Al-Basri."beristigfarlah kamu".

Bertanya salah seorang dari mereka."Wahai guruku, mengapakah tiga soalan yang berbeza kami tanya tapi jawapan yang sama engkau berikan kepada kami"?

Berkata hassan Al-basri."Bukankah Allah SWT telah sebut di dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah Nuh bermula dari ayat yang ke-10 sampai habis.

"Maka aku berkata (kepada mereka), "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun."

"Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu,"

"Dan Dia memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu".

Jesteru teman-teman, saya menyeru agar kita memperbanyakkan istigfar kepada Allah SWT agar segala amalan kita di terima Allah dan supaya kita di permudahkan Allah dalam segala urusan.InsyaAllah...Selamat beramal...

Friday, November 12, 2010

Khutbah Ibrahim bin Adham.

Setiap minggu kita akan bertemu dengan saiidul ayyam (penghulu segala hari) iaitu hari Jumaat.Maka pada hari yang penuh dengan peristiwa itu umat manusia akan di hidangkan dengan khutbah oleh khatib di mimbar-mimbar masjid.

Antara tujuan khutbah di buat adalah untuk memperingati dan menasihati manusia yang sering kali lalai dan leka dengan mainan dunia.

Alhamdulillah pada hari ini saya sempat mendengar khutbah yang di sampaikan oleh al-fadhil Ust. Dzul Khairi di Masjid Bulat.Penyampaiannya luar biasa sekali.Tanpa teks dan penyampaian yang penuh bersemangat menyebabkan ahli jemaah masjid tekun mendengar tazkitrahnya itu.

Tajuknya berkaitan dengan Ibrahim Bin Adham.Suatu ketika datang seorang pemuda mengadu kepada gurunya iaitu Ibrahim Bin Adham berkaitan dirinya yang sering kali melakukan maksiat.

Kemudian nasihat Ibrahim bin Adham kepadanya."Baiklah kamu boleh membuat maksiat tetapi dengan syarat kamu jangan tinggal di Bumi ciptaan Allah ini.Kamu buatlah Bumi kamu sendiri dan di sana kamu boleh melakukan maksiat sebebas-bebasnya". Jawab pemuda itu tadi. "Wahai guruku, pastinya aku tak mampu untuk pencipta Bumi aku sendiri."

Ibrahim bin Adham berkata lagi."Baiklah,kalau syarat itu kamu tak dapat lakukan jangan bimbang kamu masih boleh melakukan maksiat tetapi dengan syarat kamu jangan makan rezeki Allah SWT.Balas pemuda tadi kepada gurunya itu."Manalah aku mampu hidup tanpa memakan makanan yang di beri oleh Allah wahai guruku.

Ibrahim bin Adham memberikan syarat yang lain kepada pemuda itu tadi."baiklah, jika kedua-dua syarat itu tadi kamu tak boleh lakukan kamu masih ada peluang untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi kamu pastikan kamu melakukan maksiat dalam keadan Allah SWT tak nampak apa yang kamu lakukan".

Lantas jawab pemuda itu tadi."Wahai guruku Ibrahim bin Adham, sedangkan ulat dalam batu pun Allah tahu.Inikan aku, sudah pastinya aku tak mampu untuk melakukan sesuatu dalam keadaan Allah tak nampak kerana Allah Maha Melihat".

"Jika syarat itu pun kamu tak dapat lakukan, jangan risau kerana kamu masih boleh melakukan maksiat kepada Allah SWT dengan syarat kamu bila malaikat maut datang kepada kamu nanti kamu minta kepadanya untuk menanguhkan kematian".ujar Ibrahim bin Adham untuk syarat yang keempat.

Balas pemuda tadi kepada Ibrahim bin Adham. "Sesungguhnya berat sekali syarat ini wahai guruku.Manalah aku mampu untuk menangguhkan atau melewatkan walaupun sesaat waktu kematianku ini.

Ibrahim bin Adham berkata lagi."Baiklah jika kesemua syarat itu kamu tak dapat lakukan kamu masih boleh lakukan maksiat kepada Allah SWT dengan syarat nanti di akhirat apabila Malaikat Malik ingin menghumban kamu ke Neraka, kamu lawan Malaikat Malik.Kamu bagi tahu bahawa yang kamu bahawa yang kamu tak mahu masuk ke dalam neraka".

lantas pemuda itu jawab."Wahai guruku Ibrahim bin Adham sesungguhnya syarat yang ini pun aku pasti tak akan dapat lakukannya".

Kemudian pemuda tadi pun insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.Begitu lah betapa hebatnya Ibrahim bin Adham dalam menyalesaikan masalah pemuda tadi yang suka melakukan maksiat kepada Allah SWT.Semoga kisah Ibrahim bin Adham ini boleh menginsafkan kita dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Thursday, November 11, 2010

Keizzahan Nabi Muhammad SAW


Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.

Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:

  1. Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
  2. Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
  3. Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini kerana masih banyak lagi rahsia yang belum tersingkap.

Oleh itu penulis terpanggil untuk menyingkap kembali peristiwa di sebalik kelahiran baginda Junjungan Besar s.a.w.

Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.

Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.

Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''

Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.

Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria.

Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.

Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.

Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, ``Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, ``telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''

Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.

Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.

Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.

Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.

Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.

Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail.

Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.

hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi.

Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya.

Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

Islamic Song